:: NEuroNS THougHT::: January 2014

Saturday, 11 January 2014

Aku Akan Kembali !



“Aku akan kembali…Aku akan kembali !” suara Andrew seakan-akan begema dalam kotak fikiran Halem membuatkannya tidak fokus dalam mesyuarat pada pagi itu . 

Entah kenapa sejak akhir-akhir ini wajah Andrew seringkali menghiasi mimpi-mimpi malamnya . Akhirnya , matanya sukar dilelapkan dan dia akan berjaga hingga ke pagi . Berjaga-jaga , walaupun mustahil Andrew akan kembali . Hendak diceritakan pada teman sepejabat , dia khuatir mereka akan menganggapnya gila . Ah ! Biarlah , mungkin aku terlalu penat bekerja . Detik hatinya . 

Sememangnya kerja sebagai peguam di Mahkamah sivil membuatkan dirinya sibuk .  Halem juga sanggup bekerja di luar kota , semata-mata untuk mencari bukti yang kukuh . Menurut undang-undang , tanpa bukti tiada siapa yang dapat disabitkan kesalahan . Itulah pegangan Halem sepanjang dia bekerja .


“Tuan , ada pembunuhan telah berlaku di sekitar jalan Klang .” beritahu pembantunya . Semua kakitangan di pejabat itu terus bergegas ke tempat kejadian .  

Pasukan polis dan pakar forensik telah tiba di rumah mangsa . Mencari dan terus mencari bahan yang boleh dijadikan bukti . Orang ramai yang mengerumuni rumah mangsa diminta bertenang . Di kejauhan , Halem terlihat kelibat seorang anak kecil yang menangis teresak-esak di pangkuan ibunya . Barangkali keluarga mangsa , desisnya .

Sangat mengejutkan . Hasil siasatan menunjukkan cara pembunuhan persis seperti seorang penjenayah yang sudah pun diberkas . Kaki dan tangan mangsa dipotong berselang-seli dengan mata yang terbeliak . Kejam .

 “Tolong buka semula fail-fail tentang kes Andrew tiga tahun lepas . Kita akan siasat semula kes-kes pembunuhan tersebut . Semak sekiranya ada apa-apa yang kita terlepas pandang . Pergi ke tempat kejadian dan semoga berjaya,” Arah Halem kepada kakitangannya dan pihak polis . 

Semua kakitangan mula terkocoh-kocoh menyelongkar fail Andrew . Pelik . Tetapi mereka terpaksa akur dan mengikut sahaja arahan ketua mereka . Takut untuk bertanya kerana mereka perasan riak wajah Halem yang kusut dan berserabut fikirannya . Silap haribulan ada yang ditengking .
Pintu bilik Halem dikuak kuat . Mujur tombolnya tidak rosak . 

“Apa kena dengan kau ni Lem ?” bentak Aidil yang juga merupakan seorang yang berpangkat senior kepada Halem.

“Ada apa ?” soal Halem bersahaja walaupun dia sudah dapat mengagak kedatangan sahabatnya itu . Masakan tiba-tiba sahaja marah tidak bersebab .

“Ada apa kau kata ? Kau ni buang tebiat ke ? Mana ada orang buka semula kes yang dah bertahun . Bukti pun entah-entah sudah hilang . Pihak atasan sudah bertanyakan alasannya Lem . Aku taknak kau dapat susah nanti .” suara Aidil kedengaran sesal dengan sikap rakannya yang terburu-buru itu tanpa meminta pendapatnya.

“Sorry lah Aidil . Aku tahu kau senior aku . Tapi , kau tak rasa ke pembunuhan kali ini ada kaitan dengan kes Andrew . Cara pembunuhannya sama , cap jari Andrew juga ditemui merata-rata di tempat kejadian .” ujar Halem berharap Aidil dapat mempertimbangkan tindakannya itu dan bekerjasama dengannya menyiasat kes ini .

“Mustahil Halem ! Kes Andrew itu aku yang selesaikan . Tidak mungkin pembunuhnya sama . Andrew dah pun dihukum gantung . Andrew dah mati !” bentak Aidil seraya meninggalkan pejabat Halem .


Panas matahari yang membahang tidak mengganggu konsentrasi Aidil . Dia pergi ke tempat kejadian sekali lagi . Kali ini hanya bersendirian . Dia juga mahu menyelesaikan kes ini . Secepatnya . Dengan caranya sendiri . Berjumpa dengan orang-orang tertentu yang terlibat dengan kes ini . Berharap ada sesuatu yang ditemui .

“Apa yang Tuan buat di sini ?” segera Aidil berpaling ke belakang . Dadanya berombak cemas . Tidak diduga kehadirannya disedari pembantu Halem , Mira .

“Err… Kebetulan saya lalu di sini dan ingin melawat  keluarga mangsa . Kalau kamu semua sudah datang , saya pulang dahulu lah.” Pamit Aidil yang sedari tadi ralit memerhatikan selok belok rumah mangsa .

“Aik , tadi kata nak melawat . Tapi , dah pergi pula .” Mira bermonolog sendirian curiga akan sikap ketuanya yang tergesa-gesa .

Mira menuju ke dalam rumah mangsa . Beberapa pegawai ditugaskan untuk mengawal di sekitar rumah bagi menjamin keselamatan mereka .

“Mira , saya suruh awak ambil fail pun lambat . Bukan jauh sangat pun kereta saya tu .” tegur Halem dengan nada yang tegas .

“Takde Tuan , tadi saya terserempak dengan…”balas Mira tergagap-gagap.

“Dengan siapa ?”

“Err..err…” Mira masih lagi berkira-kira sama ada mahu memberitahu atau tidak insiden tadi . Dia bimbang juga kalau-kalau Tuan Aidil akan memarahinya. Jari telunjuknya diletakkan di kepala persis sedang memikirkan sesuatu .

“Mira, awak sempat lagi berangan ? Awak jumpa siapa tadi ?” nada Halem sengaja dikuatkan sedikit agar Mira sedar dari lamunannya . 

“Tttuu…Tttuaan Aidil !” balas Mira sedikit terkejut dengan sergahan ketuanya .

“Aidil ?” Halem terus berlalu dan meneliti fail di tangannya . Fikirannya ligat berfikir tujuan Aidil datang ke rumah mangsa walhal dia yang telah ditugaskan mengambil kes ini . Takkanlah Aidil menyimpan dendam padanya .Segera Halem mencapai telefon bimbitnya . Mendail nombor .

“Sila ikut dan perhatikan Tuan Aidil . Awasi setiap gerak-geri dan tingkah lakunya . Ke mana dia pergi . Dan laporkan kepada saya apa-apa yang mencurigakan .” arah Halem kepada salah seorang penyiasat persendirian.

Hatinya meragui tindakannya sebentar tadi . Tidak mungkin Aidil terlibat dalam kes ini . Aidil juga sepertinya . Matlamat mereka sama . Mahu membanteras penjenayah . Padahal selama ini Aidil jugalah yang banyak membantunya dalam bidang penyiasatan . Tapi kenapa Aidil beria-ia menyuruh dia memberhentikan penyiasatan kes ini . Malah membantah setiap tindakannya . Ah! Semua ini rumit difikirkan . Wajarkah Aidil disyaki …?


“Seorang mayat telah ditemui mati dengan keadaan kaki dan tangan dipotong berselang-seli . Kejadian berlaku di Seksyen 13 , Shah Alam malam kelmarin . Mangsa merupakan seorang…” terus tv LCD milik Linda dimatikan . Dia tahu mangsa merupakan mangsa pembunuhan kedua pembunuh kejam itu .
Bunyi lagu trouble is a friend , ringtone telefon android miliknya  segera mematikan lamunannya .

“Hello , Linda . Ini saya Halem .”suara Halem kedengaran di hujung talian.

“Halem , ada apa ?”balasnya acuh tidak acuh.

“Saya ada di depan rumah awak ni . Boleh saya masuk ?”

Linda ke dapur untuk membuat air sementara Halem dan Mira menunggu di ruang tamu . Halem meninjau-ninjau keadaan sekeliling rumah .

“Macam ni Linda , saya datang ni nak pastikan awak selamat . Awak ada rasa sesuatu tak yang membimbangkan ? Atau yang membuat awak rasa tak selamat ? Saya risaukan awak .” ujar Halem dengan nada prihatin . 

“Tak ada apa-apa lah . Saya selamat di rumah ni . Awak tak payah nak risaukan saya sangat . Kerja awak tu lagi penting .”

“Emm.. Kami sememangnya sedang mengesan jejak pembunuh . Saya juga kesal pembunuh telah membunuh suami awak tiga tahun yang lepas . Kami syaki orangnya berbeza .”

“Maksud awak , bukan Andrew ? Kalau saya dapat pembunuhnya , memang saya akan hancurkan mereka dengan tangan saya sendiri.”balas Linda nekad .

Sejurus itu Halem terpandang pergelangan tangan Linda yang dihiasi gelang mutiara . Gelang pemberian suaminya . Pasti Linda masih merindui suaminya itu . Wajahnya yang sugul itu menampakkan kerinduan itu . Kalaulah dia diberi peluang untuk mengisi kekosongan itu. Ketika Linda ingin menghantar Halem ke muka pintu . Sekilas Halem terpandang sebuah kereta di hadapan rumah Linda . Wajah pemandu itu menatapnya lama . 

“Siapa tu ? Jiran ke ?” soal Halem was-was akan kehadiran orang asing itu .

“Eh , dia detektif . Katanya dia kenalan rapat suami saya . Memang selalu dia berjaga-jaga kat situ dan sekitar rumah saya.”ujar Linda.

“Berjaga-jaga…?”

“Ya, dia sudah pun berjanji untuk menjaga saya sehingga pembunuh diberkas. Kadang-kadang , saya pergi membeli-belah pun dia ikut . Ala-ala bodyguard. Hahaha…” jelas Linda disambut ketawa kecil. 

“Kalau begitu , kami pulang dahulu . Telefon saya segera jika berlaku apa-apa. Yang penting , awak jaga diri .” pesan Halem sebelum berangkat pulang.

Linda sememangnya seeorang gadis ayu yang periang pada waktu dahulu . Keayuan itulah yang telah menarik minat Halem untuk mengenalinya sejurus kes pembunuhan suaminya itu . Halem sedar bukan mudah untuknya memenangi hati wanita itu . Tapi , dia akan berusaha keras untuk melindungi wanita yang disayanginya itu walaupun dari jauh .

“Haa… Tuan suka kat Kak Linda ye ?” usik Mira yang melihat Tuannya berangan-angan dan tersenyum sendirian ketika memandu .

“Kamu ni , pandai-pandai  aje .” tingkah Halem . Jatuhlah sahamnya jika Mira mengetahui rahsia hatinya .
Mira hanya tersenyum sahaja menyembunyikan gelodak jiwanya sambil memerhatikan gelagat ketuanya yang melucukan itu . Dia juga punya rahsia hati yang perlu disimpan kemas.


Telefon pejabat berdering .

“Selamat pagi,boleh saya bantu?”

“Ccciiik… Saya Nampak ada orang baru keluar rumah . Mulutnya penuh dengan daraaahh. Bajunya ada gambar seseorang yang menakutkan .”cerita mak cik separuh umur itu ketakutan .

“Makcik kenal orang itu ?”

“Makcik tak kenal, tapi baju dia tulis nama Andrew.”

“Ok , makcik bertenang dan sila beritahu alamatnya . Kami akan datang secepat mungkin .”

Halem memandu dengan laju ketika mendapat laporan daripada orang ramai tentang gambar Andrew didapati merata-rata di sebuah rumah kosong . Pasukan polis juga telah diarahkan mengepung rumah tersebut.

Potret Andrew yang besar tergantung di dinding rumah tersebut . Lilin-lilin yang menyala memagari seluruh rumah. Persis pemujaan . Barangkali ini dilakukan oleh kumpulan black metal yang memuja Andrew . Titisan darah dan bangkai juga dijumpai di sekitar rumah . Tetapi hanyalah bangkai kambing dan ayam .

“Tuan, kami tidak menemukan apa-apa yang mencurigakan .”

Halem menumbuk meja . Hampa .


Pakar forensik bahagian jenayah telahpun membuat laporan dan membentangkannya di unit pasukan polis. Hasil penyelidikan mendapati mangsa terakhir Andrew , suami Linda tidak dibunuh oleh Andrew . Setelah pasukan unit forensic meneliti tempat kejadian . Sampel darah pada kesan dinding juga dikaji semula . Didapati darah tersebut sepadan dengan darah milik mangsa pertama pembunuhan kali ini . 

Setelah diselidiki juga , di tempat kejadian berlaku pergelutan antara suami Linda dan tiga orang suspek dipercayai bekerja sebagai detektif Pegelutan berlaku adalah kerana salah faham kerana mangsa yang bertindak tergesa-gesa melarikan diri . Detektif-detektif tersebut mengesyaki mangsa . Mereka cuba menahan dan membelasah mangsa dan tanpa sengaja kepala mangsa terhantuk di tembok yang mempunyai serpihan paku . Paku tersebut telah tertimbus dalam kepala mangsa dan menyebabkan pendarahan yang teruk pada kepala mangsa . Mangsa mati di tempat kejadian . 

Mereka terkejut kerana menyedari mangsa sudah mati dan takut perbuatan mereka diketahui . Maka , mereka mengambil inisiatif untuk meniru cara Andrew membunuh . Kaki dan tangan mangsa dipotong  berselang dan diletakkan di rumahnya . Hal ini telah mengelirukan pihak polis yang beranggapan Andrew merupakan pembunuhnya.

“Maaf , kalau macam tu. Macam mana pula dengan kesan cap jari yang ditinggalkan pada tempat kejadian ?”celah Halem sekadar ingin tahu . 

“Pihak kami juga memikirkan hal yang sama . Tidak mungkin cap jari mereka serupa . Jika kita lihat pada skrin , tangan mangsa digenggam kuat oleh suspek . Kesan tangan tersebut tidak sepadan dengan tangan Andrew yang jauh lebih besar . Malah tangan tersebut milik seseorang . Bukan mangsa pertama mahupun yang kedua kali ini . Kami yakin detektif yang ketiga akan dibunuh ataupun dia yang membunuh pada waktu terdekat ini .”

“Mungkin cap jari mereka ditukar dengan Andrew di dalam data maklumat. Yelah , mereka kan detektif . Mesti tahu cara-cara mengubah data kerajaan.” Fikir Diana salah seorang pakar forensik berpengalaman .

“Oh , mungkin . Saya akan minta bahagian pengurusan sumber manusia untuk menyemak data mereka .”

Tidak lama kemudian. Hasil semakan diterima melalui email . Pantas dan cekap . Bingo ! mereka memang telah menukarkan cap jari untuk mengukuhkan bukti .

Tapi , apa yang merunsingkan . Jika diingat kembali , Andrew tidak pernah berasa takut apalagi kesal ketika dijatuhkan hukuman gantung sampai mati . Malah dia sering menyebut-nyebut untuk kembali semula . Apakah yang cuba disampaikan ? Semasa disabit kesalahan juga . Andrew tahu mangsa yang terakhir bukan perbuatannya . Dia tidak kisah . 

“Apa salahnya tambah seorang lagi mangsa aku . Jadi koleksi . Biar semua orang tahu kekejaman Andrew !  Aku tak kisah . Aku memang akan digantung tapi ingat , aku akan kembali !!”

Jika kita lihat rakaman ini , nadanya yakin sekali dan seperti tidak menipu . Kita lihat pula lirik matanya hanya tertumpu pada satu sudut . Di mana ketiga-tiga orang detektif itu duduk ketika sesi perbicaraan dilakukan .
Apa yang penting sekarang , kita perlu jejaki detektif yang seorang lagi sebelum pembunuhan seterusnya dilakukan . Mata Halem dipejamkan rapat . Seolah-olah berusaha mengingati sesuatu.

“Dia detektif...dia detektif.. Katanya dia kenalan rapat suami saya…”
Saat akalnya ligat berfikir . Matanya dicelik laju .

“Linda !”


“Apa kena dengan ketua kau tu Mira . Orang tengah serius , dia boleh angau pula dekat awek . Apala …” bisik rakan sekerja Mira .

“Kenapa tiba-tiba Tuan sebut nama Kak Linda ek ? Takkan rindu separuh mati kot . Entah-entah Kak Linda dalam bahaya . Aduh , nak buat macam mana ni..” gumam Mira sendirian .

Akhirnya Mira meminta pihak polis mengikutnya ke rumah Kak Linda demi langkah berjaga-jaga.
Halem memandu laju . Riak kebimbangannya tidak boleh disembunyikan lagi . Dia risaukan Linda . Tidak sanggup rasanya kehilangan insan yang disayanginya.

“Angkatlah call.. angkattt…”beberapa kali nombor Linda didail namun tiada jawapan.

“Hello, Linda! Awak okey tak ? ”

“Err…Saya okey je kat sini . Kenapa awak tiba-tiba call ni?”

“Saya risaukan awak sangat-sangat . Saya ingat saya hampir-hampir kehilangan awak . Awak duduk rumah . Jangan pergi ke mana-mana. Kejap lagi saya sampai.” Lega rasa hatinya dapat mendengar suara Linda .

Setibanya pihak polis . Mereka segera meninjau keadaan sekeliling rumah . Dan seorang lagi mayat ditemui mati dengan cara yang sama di sekitar kawasan bukit belakang rumah Linda. Halem tidak bergegas ke tempat kejadian , malah dia memilih untuk memastikan keselamatan Linda.

“Saya bersyukur sangat awak selamat . Awak jangan takut . Selagi saya ada saya akan berusaha untuk melindungi awak.”ujar Halem bersungguh-sungguh.Halem tidak akan membiarkan Linda ketakutan seperti itu.

“Waah…waah . Hebat lakonan kau ye .” suara Aidil yang tiba-tiba muncul di muka pintu memecahkan suasana yang sedari tadi sepi.

“Kau ni kenapa Aidil ? Takpuas hati dengan aku ? Siapa yang berlakon ?”marah Halem.

“Rilek Halem . Kau tanyalah Cik Linda kesayangan kau ni . Siapa yang berlakon ?!”

“Apa ni Aidil ? Kau jangan nak buat tuduhan melulu !” Halem sudak tidak tahan dengan perangai Aidil yang menyakitkan hatinya.

“Sabar Halem , sabar . Bawa bertenang . Kalau tak bersalah , buat apa nak takut, kan Cik Linda ?”

“Awak cakap apa ni ? saya tak faham .”balas Linda mempertahankan diri.

“Eh, mana gelang mutiara awak ? Takkan dah lupa kat suami awak kot.”Aidil sengaja memprovok.

“Oh, gelang saya terputus semasa buat kerja tadi. Tu, atas meja gelangnya . Sayang nak buang.”tunjuk Linda ke arah meja untuk mempamerkan bukti. 

“Eh, jom kita pergi ke tempat kejadian . Halem , kau pun belum pergi lagi kan ?”ajak Aidil bersahaja walaupun dia tahu Halem masih lagi tertanya-tanya akan tindakannya sebentar tadi.

Kawasan pembunuhan sudahpun ditanda. Kakitangan polis dan forensic masih lagi menjalankan kerja-kerja masing .

“Ok, Cik Linda . Apa kata kita main oosom . Batu , burung , air . Boleh ?”

“Kau main apa ni Aidil ?”tingkah Halem yang tidak berpuas hati dengan Aidil sejak tadi.

“Ok,ok …kita main dahulu, kalau saya kalah , saya tak ganggu Cik Linda lagi . Tapi, kalau saya menang , Cik Linda kena ikut cakap saya. Boleh tak ?”

Linda sekadar mengangguk menyatakan persetujuannya.

“Ok,start..ooo..sekekap-sekejap!”perlahan-lahan Aidil mendekati Linda . Wajah Linda didekati.

“Bersedia betul-betul Cik. Saya boleh baca fikiran Cik…” bisik Aidil berserta senyuman sinis.

“Ok, kali ni betul-betul. Oooosom !”

Aidil air dan Linda batu.Halem hanya memerhatikan . Hatinya terasa jengkel dengan tingkah-laku Aidil. 

“Oh, nampaknya saya menang. Terpaksalah Cik Linda ikut cakap saya.”kata-kata Aidil menakutkan Linda . Apa yang lelaki ini mahukan daripadanya?

“Awak nak suruh saya buat apa ?”soal Linda.

“Senang je permintaan saya ni . Buka genggaman tangan awak. Tak susah kan ? Nenek saya pun boleh buat”ujar Aidil dengan jenaka yang dibuat-buat.

Linda gusar . Perlahan-lahan genggaman tangannya dileraikan . Sebutir mutiara !

“Tak sangka benda kecil ni pun awak perasan .” kata Linda perlahan.

“Awak pun perasan juga. Saya yang ambil kat atas meja tadi pastu jatuhkan kat sini. Tak sangka pula awak kutip. Kalau tak bersalah , buat apa nak kutip ? Hahahaha..” ternyatalah Linda telah menjerut dirinya sendiri ke dalam perangkap Aidil.

Halem pula hanya tergamam melihat semua itu . Dia sama sekali tidak menyangka Linda sebegitu .

  “Kalau saya dapat pembunuhnya , memang saya akan hancurkan mereka dengan tangan saya sendiri..” masih terngiang-ngiang suara Linda di cuping telinganya . Tidak sangka Linda begitu nekad mengotakan kata-katanya.

Akhirnya , di dalam perbicaraan mahkamah . Linda telah mengaku kesalahannya membunuh tiga orang detektif yang telah membunuh suaminya . Andrew telah mengutus surat kepadanya sewaktu dalam penjara dan memberitahu pembunuh sebenar suaminya . Andrew berpesan agar dia menggunakan dan meniru cara Andrew membunuh agar dapat mengelirukan pihak polis dan merealisasikan kata-katanya bahawa dia akan kembali .

“Dengan ini , mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Nur Haslinda binti Ibrahim atas kesalahan membunuh ..”


Halem termenung memandang kotaraya Kuala Lumpur yang indah dihiasi lampu-lampu neon . Wajahnya bungkam . Dia sudahpun meminta maaf dengan Aidil atas syak wasangkanya selama ini . Dia hanya mahu mengosongkan kotak fikirannya ini . Menghirup udara segar yang nyaman . Alangkah bagus sekiranya dapat bercuti , bersantai bersama keluarga . Keluarga ? Terlupa pula dirinya sebatang kara . 

“Bos ! chill lah . Bunga bukan sekuntum . Kat dalam pasu ada , kat tepi longkang . Kalau bos nak kita pergi je Cameron . Seluas padang saya hadiahkan bos bunga . Hahahaha . Lawak tak Tuan ?” usik Mira menceriakan suasana . Dihadiahkan senyuman istimewa untuk ketuanya . Dia tahu Tuan Halem masih berduka cita atas pemergian Kak Linda .

“Kamu ni macam-macamlah Mira.”

“Kenapa Tuan , Tuan taknak ke hadiah bunga saya tu ? Takpelah , kalau macam tu , saya kan ada . Saya pun bunga juga.hehe”

“Yelah , kamu pun bunga…”

“Ya Allah,Tuan cakap saya bunga ?”hati Mira berbunga riang mendengar pujian itu .

“Bunga… Bunga taik ayam . hahaha…” Halem gelak besar melihat wajah Mira yang bertukar masam itu . Muncung sedepa dihalakan ke arah Halem.

“Dahlah,dahlah..Eh , kamu kata Cameron banyak bunga kan ? Jom ikut saya pergi Cameron hujung minggu ni. Bosan juga kalau bercuti sorang-sorang.”

“Waaah . Tuan ajak saya dating ? Mimpi ke ni ?” Mira berlari mendapatkan Halem yang telah meninggalkannya di belakang.

“Kamu tu mana boleh dating-dating. Tak cukup umur . Budak-budak lagi !”

adaptasi-Mr.Brain

tamat